Jana Pendapatan Di sini

Saturday, 27 July 2013

BOT PEMOHON SUAKA KARAM DI INDONESIA : Korban cecah 15 orang


MASIH HIDUP: Seorang pegawai polis mengangkat seorang budak lelaki yang diselamatkan oleh pasukan penyelamat di perairan Cidaun, Jawa Barat, pada Rabu lalu. - Foto AFP

Korban cecah 15 orang

CIANJUR: Angka korban bot karam yang membawa sekitar 200 pemohon suaka ke Australia telah meningkat kepada 15 orang semalam.
Menurut para pekerja penyelamat, mereka tidak pasti sama ada masih ada lagi mangsa yang hilang.
Sebelum ini, hampir 190 pemohon suaka telah berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat dan nelayan setempat.
Namun, tiga hari selepas bot itu tenggelam di perairan Indonesia di sini, ketua operasi menyelamat, Encik Rochmali, berkata peluang untuk menjumpai lagi penumpang yang hidup kini tipis.
Menurut beliau, cuaca yang bertambah buruk dengan angin kuat dan ombak besar menyukarkan lagi operasi mencari.
"Kami tidak pasti angka sebenar penumpang dalam bot itu. Mungkin semuanya telah ditemui tetapi kami tetap mengerahkan sebuah helikopter meninjau keadaan di laut," kata Encik Rochmali.
Antara 15 mangsa yang terkorban adalah enam kanak-kanak, termasuk seorang bayi berusia 18 bulan, dan seorang wanita yang hamil.
Polis sedang menyoal siasat pemohon suaka yang selamat.
Bot yang membawa pemohon suaka yang berasal dari Iran, Sri Lanka dan Iraq itu bocor sebelum mereka sempat berpindah ke sebuah bot yang lebih besar di tengah lautan bagi meneruskan perjalanan ke Australia.
Sebilangan mereka telah diserahkan kepada pegawai imigresen Indonesia dan ditempatkan di hotel-hotel di bandar Sukabumi di Jawa Barat.
Pihak berkuasa Australia telah memaklumkan Indonesia mengenai insiden bot karam itu pada lewat Selasa lalu.
Kejadian itu berlaku selang beberapa hari Canberra mengumumkan bahawa pemohon suaka yang tiba dengan bot tidak lagi dibenarkan menetap di Australia.
Ini meskipun mereka berjaya mendapatkan status pelarian.
Sebaliknya, mereka akan dihantar ke Papua New Guinea untuk ditempatkan di sana.
Lebih 15,000 pemohon suaka telah tiba di Australia dengan bot tahun ini.
Seorang wartawan AFP yang mewawancara pemohon suaka yang terselamat pada Rabu lalu, berkata satu kumpulan seramai 38 orang telah berenang dalam kegelapan malam selama empat jam sebelum mereka sampai ke darat pada malam Selasa lalu.

No comments:

Post a Comment

Busuk.com

Rekaciptaku